Refleksi

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNya saya dapat menyiapkan tugasan projek bagi kursus MTE3109 iaitu Mengajar Nombor, Pecahan, Perpuluhan dan Peratusan dengan jayanya.

            Sepanjang menyiapkan tugasan ini, pelbagai perkara yang telah saya pelajari. Saya belajar bahawa tugas sebagai seorang guru bukannya mudah. Banyak persediaan yang perlu dilaksanakan sebelum masuk ke kelas. Persediaan itu merangkumi pelbagai aspek terutama dari sudut bahan resos dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Rancangan Pengajaran Harian adalah nadi seorang guru pelatih mahupun guru sebenar. Selama ini, saya tidak begitu mengambil berat akan perlaksanaan RPH ini. Saya beranggapan bahawa RPH tidaklah penting jika dibandingkan dengan proses pembelajaran dan pengajaran itu sendiri di dalam kelas. Namun begitu, setelah merasai sendiri pengalaman mengajar ketika proses pengajaran mikro, barulah saya sedar tanggapan saya selama ini benar-benar salah.

            RPH merupakan perkara yang amat penting kerana ianya menggambarkan persediaan yang dilakukan oleh guru sebelum mengajar. Sebagaimana hebat seorang guru itu atau seberapa lama guru tersebut telah mengajar, guru tersebut masih perlu menyediakan RPH sebelum masuk ke kelas mengajar. Ini adalah kerana dengan adanya Rancangan Pengajaran Harian, ianya akan membantu memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Set induksi, pengenalan pada langkah 1, perkembangan pada langkah 2, langkah 3, dan penutup adalah komponen-komponen di dalam RPH yang akan membantu guru dalam merangka perjalanan pengajarannya mengenai sesuatu topik tersebut. Ini membolehkan guru bersedia untuk masuk ke kelas.

            Mungkin ramai yang beranggapan bahawa penyediaan RPH adalah mudah dan senang. Namun, setelah melalui sendiri bagaimana untuk menghasilkan RPH yang baik dan berkualiti, barulah saya sedar bahawa ianya memerlukan usaha dan kerjasama dari rakan sekumpulan. Ini kerana, kerahan idea antara ahli kumpulan adalah penting untuk merancang aktiviti pengajaran yang menarik. Saya ingin berterima kasih kepada ahli kumpulan saya iaitu Maisarah bt Zakaria kerana telah memberikan komitmen yang cukup baik sepanjang menyiapkan tugasan projek ini. Kami bersama-sama mengerah idea untuk menghasilkan RPH yang baik yang menyentuh dan menjelaskan topik pecahan tak wajar secara keseluruhannya. Dengan tunjuk ajar daripada pensyarah pembimbing, Datin Zaitun bin Othman barulah saya sedar kaedah penulisan RPH yang baik amat perlu diberi penekanan.

Sejujurnya, setelah mendapat tugasan ini, ketika mencabut undi untuk memilih topik sama ada nombor, pecahan, perpuluhan atau peratusan, saya sedia maklum bahawa mengajar pecahan bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana pecahan melibatkan satu pemahaman konsep asas yang perlu kukuh kerana ianya mempunyai kaitan dengan pelbagai topik lain seperti perpuluhan dan peratusan. Jika pincangnya pemahaman mengenai pecahan, maka akan pincanglah pemahaman mengenai topik perpuluhan dan peratusan yang akan dipelajari selepas itu. Oleh sebab itu, setelah mengetahui bahawa topik yang kami perlu laksanakan ialah pecahan, saya agak risau kerana saya tahu kami akan menghadapi kesukaran.

Namun, saya tidak berputus asa. Saya cuba berfikiran positif bahawa ini adalah salah satu cara saya dapat belajar bagaimana cara mengajar topik pecahan dengan peluang yang diberikan ini. Saya boleh mengaplikasikannya ketika praktikum di sekolah yang akan berlangsung tidak lama sahaja lagi. Peluang dan ruang ini perlu saya gunakan sebaik mungkin. Saya dan Maisarah bersetuju untuk memilih tajuk pecahan tak wajar. Kami membuat seberapa banyak rujukan sama ada di Internet mahupun buku terutama buku teks sekolah rendah, untuk mengetahui komponen pecahan tak wajar yang perlu dititikberatkan oleh guru. Kami juga merujuk Datin Zaitun bin Othman agar idea kami tidak lari daripada konsep pecahan tak wajar yang sebenarnya.

Pada pendapat saya, pembelajaran mengenai topik pecahan tak wajar ini menjadi sangat menyeronokkan dengan sokongan bahan resos yang menarik. Oleh sebab itu, saya dan Maisarah mempelbagaikan bahan resos agar murid dapat mencambahkan idea mengenai contoh-contoh pecahan yang ada di sekeliling mereka. Tidak hanya tertumpu kepada contoh potongan kek dan pizza seperti yang selalu kita lihat, kami menggunakan konsep telur dan tempat letak kereta agar murid juga sedar bahawa pecahan sememangnya berkait rapat dengan persekitaran mereka. Resos tersebut adalah dalam bentuk konkrit yang mana murid dapat merasai pengalaman memegang, meletakkan, mengumpulkan bahagian-bahagian kepingan pizza, kereta, telur ke dalam tempat yang disediakan seperti dulang untuk pizza, tempat letak kereta untuk kereta dan bekas telur untuk telur. Pemahaman mereka mengenai konsep pecahan tak wajar akan dapat dicambahkan dengan baik.

Unsur-unsur permainan dan aktiviti berkumpulan perlu dilaksanakan ketika merancang pengajaran untuk memberi keseronokan kepada mereka. Kita sedia maklum bahawa murid akan mudah bosan dengan pengajaran yang sama. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab seorang guru untuk menyediakan suasana pengajaran yang kondusif dengan mempelbagaikan teknik dan kaedah pengajaran.

Ketika melaksanakan pengajaran mikro pula adalah sesuatu yang berbeza. Perlaksanaan di atas kertas RPH tersebut perlu diterjermahkan ke dalam bentuk realiti iaitu dengan mengajar. Barulah saya sedar bahawa proses mengajar ini perlu didedahkan seberapa kerap yang boleh kerana ianya akan membina keyakinan diri kepada guru pelatih. Sememangnya, perasaan gugup dan risau amat tinggi sebelum menjalankan pengajaran mikro ini. Saya dapat bayangkan ketika saya melangkah pertama kali ke kelas untuk berpraktikum nanti. Pastinya  rasa gementar itu adalah lebih tinggi. Namun, saya yakin saya tidak boleh berputus asa dan kalah dengan diri sendiri. Oleh sebab itu, pengalaman pengajaran mikro ini memberi kesan kepada saya agar selepas ini perlu tenang dan sentiasa bersedia akan apa sahaja kemungkinan yang berlaku di dalam bilik darjah.

Namun begitu, setelah memulakan pengajaran, sememangnya saya berasa amat seronok. Saya menganggap rakan-rakan saya sebagai murid-murid yang sebenarnya, yang tidak faham akan konsep pecahan tak wajar. Saya cuba menyampaikan yang terbaik dalam proses memahamkan konsep pecahan tak wajar tersebut kepada mereka. Mereka juga memberi kerjasama yang amat baik sekaligus memberi semangat untuk saya terus mengajar.

Di dalam bilik darjah, perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah kawalan kelas. Saya perlu memastikan murid fokus dan bersemangat untuk belajar. Saya juga percaya untuk menarik minat murid kita tidak boleh menjadi terlalu garang seperti diktator kerana ini akan merencatkan suasana dan perasaan murid itu sendiri. Murid-murid perlu diberi peluang untuk bercakap dan menyuarakan pendapatnya agar keyakinan dalam diri mereka dapat dibina sejak kecil lagi.

Penggunaan bahasa ketika mengajar juga perlu dititikberatkan. Saya tidak boleh menggunakan bahasa pasar. Seperti contoh, ‘korang’. Saya perlu menggunakan perkataan ‘awak’ atau ‘kamu’ ketika berinteraksi dengan mereka. Selain itu, penggunaan bahasa yang terlalu tinggi adalah amat tidak sesuai untuk mengajar murid sekolah rendah. Arahan dan pertanyaan yang diucapkan perlulah dalam bentuk yang mudah dan senang difahami agar murid tidak keliru dengan apa yang disampaikan oleh guru.

Sememangnya, pendedahan pengajaran mikro ini memberi ruang dan peluang untuk saya memperbaiki kelemahan ketika mengajar dan mengenal potensi diri yang ada agar proses pengajaran dan pembelajaran adalah kondusif. Saya perlu memperbaiki kelemahan-kelemahan yang terlalu ketara seperti perlu mengurangkan penggunaan bahasa pasar ketika bertutur dengan orang di sekeliling.

            Di samping itu, pengalaman membuat blog pendidikan adalah sesuatu yang baru buat saya. Namun, saya percaya segala yang baru perlu dimulakan dengan satu langkah permulaan dengan baik. Semoga pembinaan blog ini membantu saya dalam menyebarkan maklumat mengenai pecahan kepada orang ramai terutama dalam kalangan murid-murid agar ilmu tersebut dapat dikongsi bersama-sama di alam maya. Sememangnya, pembelajaran tidak hanya terhad kepada kaedah bersemuka, namun penggunaan internet dan laman sosial boleh dijadikan perantara.

            Tuntasnya, tugasan ini memberi seribu satu erti yang bermakna buat saya. Pengalaman ini adalah amat berharga buat saya sebagai seorang guru pelatih yang bakal menjalani latihan mengajar di sekolah tidak lama lagi. Tugas sebagai seorang guru bukanlah mudah. Ilmu-ilmu yang saya pelajari di institut perguruan ini perlu saya pegang dan praktikkan ketika di sekolah nanti. Moga ilmu yang diperolehi ini akan dapat saya gunakan untuk mendidik murid-murid agar mereka cemerlang di dunia dan di akhirat ketika bergelar guru kelak. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh: Norfatin Nadia binti Rozali

910814-10-5016