Dewasa ini, tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan bahan resos atau bahan bantu belajar dalam kalangan guru di sekolah adalah pada tahap yang membimbangkan. Kebanyakan guru tidak merasakan bahawa penggunaan bahan resos akan melancarkan perjalanan proses pembelajaran dan pengajaran. Sebaliknya, kebanyakan daripada mereka hanya bergantung kepada teknik dan kaedah yang lama seperti penggunaan papan putih sahaja dengan hanya berpaksikan kepada pengajaran berpusatkan guru semata. Kajian menunjukkan lebih 64% guru matematik di sekolah rendah tidak menggunakan bahan bantu belajar terutamanya bahan bantu belajar bahan audio visual dan komputer walaupun lebih 95% berpendapat bahawa penggunaan bahan bantu mengajar amat penting untuk meningkatkan minat, perasaan ingin tahu dan kefahaman murid terhadap konsep-konsep matematik yang akan di ajarnya.

            . Menurut Ngui Kuen Sang (1981) resos ialah penggunaan bahan pengajaran dalam situasi pembelajaran dan pengajaran melibatkan penglihatan dan pandangan seseorang murid. Selain itu, Atan Long (1982) juga berpendapat bahawa resos juga merupakan bahan-bahan pengajaran yang terdiri daripada pelbagai jenis iaitu berbentuk buku, carta, slaid yang dipancarkan pada layar putih (Atan Long, 1982). Penggunaan resos perlulah bersesuaian dengan peringkat umur murid. Sebagai contoh penggunaan bahan maujud dan semi konkrit adalah bersesuaian dengan peringkat umur murid-murid sekolah rendah.

Resos juga boleh diertikan sebagai segala kelengkapan dan peralatan yang digunakan oleh guru sebagai bantuan dalam menyampaikan pengajaran sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Resos boleh terdiri daripada bahan bercetak, bahan manipulatif dan penggunaan perisian komputer serta teknologi maklumat. Bahan bercetak termasuk lembaran kerja, jurnal, carta, graf, keratan akhbar, buku teks, ensiklopedia, lukisan, gambar, peta, poster, komik dan buku latihan. Bahan manipulatif Matematik pula boleh terdiri daripada kit-kit seperti papan geo, blok Dienes, blok asas sepuluh dan rod Cruisenaire. Bahan manipulatif memberi peluang untuk murid menggunakan, mengolah dan memegang resos tersebut. Kalkulator, abakus dan alat penimbang juga dikategorikan sebagai resos. Penggunaan komputer, projektor dan perisian pendidikan, persembahan multimedia, video interaktif juga adalah salah satu medium resos.

Bahan resos adalah sesuatu perkara yang amat penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Dengan adanya bahan resos ketika melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas, pastinya akan menarik perhatian murid agar mereka fokus akan sesuatu topik. Ini kerana, kajian mendapati bahawa seorang murid di dalam kelas boleh menumpukan perhatian tanpa ada gangguan hanya selama 20-30 minit yang pertama. Selepas daripada itu, mereka akan mula tidak senang duduk dan akan mengganggu rakan-rakannya yang lain. Disebabkan itu, saya percaya penggunaan bahan resos amat penting agar perhatian mereka akan kembali berfokus terhadap topik yang dipelajari.

            Bahan resos merupakan salah satu kaedah yang membantu proses pembelajaran dan pengajaran menjadi menarik dan berjalan dengan lancar. Ini kerana, sememangnya murid cepat bosan dengan pengajaran yang berbentuk satu hala sahaja (chalk and talk) dan memerlukan pembelajaran yang bervariasi daripada pelbagai sudut untuk menguji aras kefahaman mereka yang pelbagai. Seperti yang kita sedia maklum, Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Gardner juga menekankan bahawa setiap murid mempunyai potensi diri dan kecenderungan yang berlainan antara satu sama lain. Oleh itu, bahan resos ini merupakan medium yang mampu memberi kesegaran dalam proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas untuk mencungkil segala potensi diri yang ada dalam diri murid-murid.

Saya juga percaya bahawa subjek Matematik memerlukan pembinaan konsep asas yang kukuh. Tidak dapat dinafikan bahwa kefahaman konsep di dalam matematik adalah amat penting dalam proses pembelajaran. Para pendidik juga sedia maklum bahawa pengetahuan merupakan sesuatu yang tidak boleh dipindahkan dari seseorang kepada seseorang yang lain sebaliknya ia hanya boleh dibina oleh pelajar itu sendiri melalui proses berinteraksi dengan persekitaran pembelajaran. Persekitaran boleh dijadikan sebagai alat perhubungan yang dapat mengaitkan idea matematik dengan pengalaman harian. Pembentukan konsep pembelajaran yang betul dalam matematik amatlah sukar untuk dicapai. Kesukaran ini adalah disebabkan oleh ciri-ciri matematik yang kebanyakkan konsepnya saling berkait di mana pemahaman sesuatu konsep adalah bersandar kepada pemahaman konsep-konsep sokongan yang lain. Sebagai contoh, pembinaan konsep mengenai pecahan wajar perlu diajarkan secara menyeluruh agar murid benar-benar faham akan konsep tersebut kerana ianya akan berkait rapat dengan pembelajaran pada peringkat seterusnya iaitu pecahan setara dan pecahan tidak wajar.

Oleh sebab itu, saya berpendapat bahawa pembinaan konsep Matematik boleh diperjelaskan melalui penggunaan bahan resos yang bersifat konkrit. Ini kerana, bahan konkrit atau manipulatif boleh dipegang dan disentuh oleh murid menggunakan pancaindera sekaligus mereka akan merasai, berfikir, membentuk dan membina pemahaman konsep Matematik tersebut. Contoh bahan manipulatif yang terbaik ialah rod Cuissenaire, papan geo dan sebagainya. Guru juga boleh mereka cipta bahan manipulatif sendiri tanpa terikat dengan bahan manipulatif yang telah sedia ada.  Ini akan memberikan pengalaman yang sebenar kepada murid untuk memahami sesuatu konsep asas Matematik itu dengan mudah dan mencambahkan pemikiran Matematik murid-murid tersebut.

Sejajar dengan teori konstruktivime yang menekankan aspek murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, bahan resos berbentuk konkrit dilihat mampu untuk merangsang pemikiran Matematik murid-murid tersebut di samping bekerjasama dan rakan-rakan kumpulan dalam melaksanakan aktiviti berkumpulan. Dalam proses ini, murid akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Menurut Sushkin N.(1999), teori konstruktivisme menyatakan bahawa penekanan diberikan kepada murid lebih daripada guru . Ini adalah kerana muridlah yang berinteraksi dengan bahan dan peristiwa dan memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Justeru, murid membina sendiri konsep dan membuat penyelesaian kepada masalah. Autonomi dan inisiatif murid hendaklah diterima dan digalakkan.

Penggunaan bahan resos di dalam bilik darjah juga akan membolehkan guru mengembangkan daya kreativiti dengan mempelbagaikan kaedah dan pendekatan ketika proses pembelajaran dan pengajaran. Ini kerana, setiap daripada bahan resos tersebut berperanan dalam keadaan yang berlainan. Sebagai contoh, persembahan multimedia boleh dilakukan di peringkat set induksi untuk menarik perhatian murid, manakala kit-kit manipulatif boleh digunakan ketika melaksanakan aktiviti berkumpulan yang mana akan mendorong murid belajar untuk berkoperatif dengan rakan-rakannya yang lain. Sekaligus, secara tidak langsung, dalam tempoh masa satu jam guru telah mempelbagaikan pendekatan pengajaran.

Tidak dapat dinafikan, penggunaan bahan resos akan menjimatkan masa. Masa satu jam yang diperuntukkan untuk subjek Matematik misalnya berjalan dengan lancar tanpa perlu menunggu guru menulis setiap patah perkataan di atas papan putih, kemudian memadamkannya dan menulis perkataan yang lain pula di atas papan putih. Ini boleh digantikan dengan penggunaan carta yang telah lengkap dengan segala maklumat ataupun penggunaan persembahan slaid atau multimedia yang mempunyai unsur-unsur pergerakan objek yang lebih menarik perhatian murid. Masa yang diperuntukkan mampu digunakan dengan sebaik-baiknya oleh guru mahupun murid. Guru boleh membina pengetahuan mereka dengan menggunakan bahan resos bersifat manipulatif dan sebagainya.

Di samping itu, penggunaan bahan resos dalam bilik darjah membantu murid memahami dan mengekalkan sesuatu isi pelajaran dengan lebih lama. Jika perbandingan dibuat di antara bahan konkrit atau fakta yang abstrak, semestinya penggunaan bahan konkrit akan lebih meresap dalam diri murid-murid. Ini kerana, penggunaan bahan konkrit melibatkan penglibatan murid itu sendiri dalam membina pengetahuannya sekaligus pengalaman yang diperolehi mereka terus melekat dalam fikiran.

Seterusnya, kita beralih skop kepada jenis resos yang ketiga iaitu penggunaan komputer dan teknologi. Dunia pendidikan telah mengalami perubahan yang pesat yang dibawa oleh kesan globalisasi, pengdemokrasian pendidikan, ledakan teknologi maklumat, persaingan hebat dan usaha ke arah pembentukan sistem pendidikan yang bertaraf dunia. Perubahan yang berlaku secara global ialah penambahan minat dan usaha untuk para pendidik menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Kadar perubahan ini dipercepatkan lagi dengan pengaruh faktor-faktor seperti perisian multimedia yang lebih mudah digunakan dan mesra pengguna, kos teknologi yang lebih murah bagi perkakasan dan perisian serta perkembangan dalam teori dan model pendidikan yang berubah dari pemusatan guru ke pembelajaran berpusatkan murid.

Tidak mampu disangkalkan lagi, penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dapat memperkembang dan memperkayakan lagi tajuk yang diajar. Cockcroft (1982) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran matematik malah penggunaan komputer juga boleh mengubah kepentingan sesuatu tajuk dalam silibus matematik. Keadaan yang sama juga mungkin wujud dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran lain di sekolah. Aktiviti penyelesaian masalah adalah bahagian terpenting dalam pendidikan matematik. Pencapaian yang tinggi dalam matematik tidak bermakna jika seseorang murid tidak mampu melakukan proses penyelesaian masalah.

Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan oleh tokoh-tokoh terkenal seperti Funkhouser (1993), Henderson and Landersman, (1992), mendapati bahawa murid yang menggunakan komputer dalam matematik mempunyai sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berkeupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.Perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran akan dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan berkesan.

Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan beberapa aplikasi, seperti spreadsheet, multimedia dan internet. Peranan dan penggunaan internet telah mula dikenalpasti dapat membantu pengurusan dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam pelaksanaan proses pengajaran pembelajaran di dalam dan luar bilik darjah yang secara langsung melibatkan para pendidik, pelajar dan ibubapa serta ahli masyarakat yang prihatin. Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan komputer dan internet sebagai salah satu bahan resos atau bahan bantu belajar mendorong murid untuk meneroka alam maya yang baru ditemui tersebut. Mereka sentiasa menemui maklumat baru dan bahan-bahan yang amat menarik perhatian. Nolan dan Martin (1994) menyatakan bahawa pembelajaran dalam suasana baru seperti menggunakan internet di sekolah telah membawa banyak perubahan kepada murid-murid. Mereka didapati lebih mahir membuat kajian dan lebih berfikiran secara kritikal. Walau bagaimanapun jurang perbezaan sosial ekonomi di kalangan murid-murid harus diambil kira semasa pendedahan teknologi komputer dan internet diberikan. Guru perlu bijak menyelitkan penggunaan komputer dan teknologi dalam pembelajaran di samping memastikan semua murid melibatkan diri tanpa ada unsur pilih kasih. Internet amat bermanfaat kepada guru dan murid serta ibubapa khususnya dalam menghadapi cabaran IT dan era globalisasi. Industri berasaskan maklumat yang akan mencorakkan kehidupan pada masa hadapan, perlu diberi perhatian sewajarnya oleh setiap ahli masyarakat, khususnya warga pendidik dan para ibubapa.

Aktiviti pembelajaran hendaklah dirancang dengan teliti oleh guru supaya internet dapat digunakan dengan berkesan. Internet telah menyediakan beberapa kemudahan, antaranya ialah  e – mail (Mel Eletronik), Laman Web (WWW), Internet Relay Chat (IRC), File Transfer Protocal (FTP) dan sebagainya.

Semua kemudahan ini boleh dimanfaatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Para guru harus bijak memilih aplikasi yang sesuai digunakan. Oleh itu, perancangan aktiviti yang kemas dan teratur amatlah penting, supaya murid-murid dapat menggunakan internet secara maksimum dan optimum. Semua aplikasi tersebut boleh digunakan sama ada sebagai sumber maklumat atau pun sebagai bahan bantu yang diintegrasikan terus dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Salah satu penggunaan resos Matematik di jaringan maya yang memberi input yang amat berguna kepada murid dan guru ialah National Library of Virtual Manipulatives (NLVM). Gedung Perpustakaan Maya ini adalah satu cara guru bebas untuk memperkayakan corak pembelajaran kelas Matematik. Dengan menggunakan kaedah interaktif atas talian, NLVM menerapkan unsur main dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Ianya sesuai untuk setiap lapisan murid terutama sekolah rendah kerana merangkumi bab  nombor dan operasi, algebra, geometri, pengukuran, dan data analisis. Permainan yang dimuatkan kebanyakannya dalam bentuk Java applet. Ini akan memudahkan murid untuk memahami konsep Matematik atau menjadikannya sebagai latihan konsep dan dalam pada masa yang sama mereka juga bermain. NLVM bukan sahaja membantu murid, malahan turut menjadi rujukan buat guru dan guru pelatih dalam memperkayakan aktiviti pengajaran Matematik.

Keberkesanan resos dapat dilihat apabila resos tersebut boleh digunakan berulang kali. Tidak hanya pada satu-satu masa sahaja. Oleh sebab itu, pengurusan resos juga perlu dititikberatkan agar seorang guru tidak perlu membuat resos berulang kali. Bagi memastikan perkara tersebut, bahan resos perlu disimpan dengan baik. Selain itu, guru juga perlu memastikan bahan yang digunakan untuk membuat resos adalah tahan lama dan kukuh supaya penggunaannya kekal lama. Guru juga perlu memastikan terdapat bilik khas yang menempatkan bahan-bahan resos ini supaya penggunaannya kepada seluruh murid di sekolah tersebut adalah menyeluruh. Alat bantu mengajar harus sentiasa berada di dalam keadaan baik, boleh beroperasi dan menepati fungsinya serta cekap mempersuaikan keperluan murid dan masa yang diperuntukkan.

Terdapat beberapa perkara penting yang perlu difahami berhubung dengan penggunaan resos dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Resos dan bahan bantu belajar hanya akan bertindak sebagai sumber dan alat bantu dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Resos tidak mengubah peranan guru. Malah sebaliknya ,guru akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka. Keterampilan dan keperibadian yang mulia akan tetap menjadi tunjang dan ikutan utama. Penggunaan resos dapat mengurangkan beban tugas guru dan murid di samping setiap kerja dapat dilakukan dengan kemas, teratur dan sistematik.

Pada pendapat saya, guru perlu sentiasa berusaha untuk mempelajari perkara baru terutama apabila berkaitan dengan resos baru terutama teknologi. Ini kerana, sememangnya resos-resos seperti inilah yang menjadi pemudahcara ketika mengajar kelak. Sebagai penambahbaikan di masa-masa akan datang, kursus-kursus pendek perlu diadakan agar seorang guru boleh menambahkan ilmu mengenai penggunaan resos. Sebagai contoh, bengkel penggunaan alat bantu mengajar serta teknik penggunaannya dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya bahan resos yang jarang digunakan di sekolah seperti rod cuisenaire dapat diadakan secara berkala oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut. Pusat sumber di sekolah juga harus dilengkapi dengan bahan-bahan bantu mengajar yang  mencukupi yang boleh digunakan oleh guru dalam pengajaran konsep matematik tertentu. Guru harus memupuk sikap ingin cuba dan inkuiri khususnya penggunaan kaedah serta bahan-bahan bantu mengajar yang pelbagai dan dapat mengambil kira pelbagai kecerdasan pelajar dan gaya pembelajaran yang berbeza. Selain itu, guru juga perlu mempertingkatkan dan mengolah aktiviti pembelajaran dan pengajaran yang berpusatkan murid berasaskan kaedah kolaboratif, kooperatif dan fahaman konstruktivisme.

Tuntasnya, di era serba moden ini, resos merupakan medium yang memberi kemudahan dan laluan untuk membantu guru melicinkan proses pembelajaran dan pengajaran. Resos berbentuk tidak terikat. Guru boleh mencipta resos yang tersendiri tanpa perlu terikat atau terbiasa dengan resos yang sama berulang-ulang. Daya kreativiti guru diuji untuk menghasilkan resos yang baik agar murid sentiasa berasa teruja menantikan kehadiran guru ke kelas.

 


Comments

nak tanya..resos itu maksudnya apa ye
02/12/2014 5:15pm

Reply



Leave a Reply

    Author

    Write something about yourself. No need to be fancy, just an overview.

    Archives

    March 2013

    Categories

    All